Marilah kita semak Salman
menceritakan pengalamannya selama mengembara mencari agama yang hak
itu. Dengan ingatannya yang kuat, ceritanya lebih lengkap, terperinci
dan lebih terpercaya. seorang sahabat Rasulullah saw.
Dari Abdullah bin Abbas
Radhiyallahu 'Anhuma berkata, "Salman al-Farisi Radhiyallahu 'Anhu
menceritakan biografinya kepadaku dari mulutnya sendiri. Kata Salman,
"Saya pemuda Parsi, penduduk kota Isfahan, berasal dari desa Jayyan.
Bapaku pemimpin Desa. Orang terkaya dan berkedudukan tinggi di situ. Aku
adalah insan yang paling disayangi ayah sejak dilahirkan. Kasih sayang
beliau semakin bertambah seiring dengan peningkatan usiaku, sehingga
kerana teramat sayang, aku dijaga di rumah seperti anak gadis.
Aku mengabdikan diri
dalam Agama Majusi (yang dianut ayah dan bangsaku). Aku
ditugaskan untuk menjaga api penyembahan kami supaya api tersebut
sentiasa menyala.
Ayahku
memiliki kebun yang luas, dengan hasil yang banyak Kerana itu beliau
menetap di sana untuk mengawasi dan memungut hasilnya. Pada suatu hari
bapa pulang ke desa untuk menyelesaikan suatu urusan penting. Beliau
berkata kepadaku, "Hai anakku! Bapa sekarang sangat sibuk. Kerana itu
pergilah engkau mengurus kebun kita hari ini menggantikan Bapa.''
Aku pergi ke kebun kami.
Dalam perjalanan ke sana aku melalui sebuah gereja Nasrani. Aku
mendengar suara mereka sedang sembahyang. Suara itu sangat menarik
perhatianku.
Sebenarnya
aku belum mengerti apa-apa tentang agama Nasrani dan agama-agama lain.
Kerana selama ini aku dikurung bapa di rumah, tidak boleh bergaul dengan
siapapun. Maka ketika aku mendengar suara mereka, aku tertarik untuk
masuk ke gereja itu dan mengetahui apa yang sedang mereka
lakukan. Aku kagum dengan cara mereka bersembahyang dan ingin
menyertainya.
Kataku,
"Demi Allah! ini lebih bagus daripada agama kami."Aku tidak berganjak
dari gereja itu sehinggalah petang. Sehingga aku terlupa untuk ke kebun.
Aku bertanya kepada
mereka, "Dari mana asal agama ini?"
"Dari Syam (Syria)," jawab mereka.
Setelah hari senja,
barulah aku pulang. Bapa bertanyakan urusan kebun yang ditugaskan beliau
kepadaku.
Jawabku,
"Wahai, Bapa! Aku bertemu dengan orang sedang sembahyang di gereja. Aku
kagum melihat mereka sembahyang. Belum pernah aku melihat cara orang
sembahyang seperti itu. Kerana itu aku berada di gereja mereka sampai
petang."
Bapa
menasihati akan perbuatanku itu. Katanya, "Hai, anakku! Agama Nasrani
itu bukan agama yang baik. Agamamu dan agama nenek moyangmu (Majusi)
lebih baik dari agama Nasrani itu!"
Jawabku, "Tidak! Demi Allah! Sesungguhnya agama
merekalah yang lebih baik dari agama kita."
Bapa khuatir dengan ucapanku itu. Dia takut
kalau aku murtad dari agama Majusi yang kami anuti. Kerana itu dia
mengurungku dan membelenggu kakiku dengan rantai.
Ketika aku beroleh
kesempatan, kukirim surat kepada orang-orang Nasrani minta tolong kepada
mereka untuk memaklumkan kepadaku andai ada kafilah yang akan
ke Syam supaya memberitahu kepadaku. Tidak berapa lama kemudian, datang
kepada mereka satu kafilah yang hendak pergi ke Syam. Mereka
memberitahu kepadaku.
Maka aku berusaha untuk membebaskan diri daripada
rantai yang membelengu diriku dan melarikan diri bersama kafilah
tersebut ke Syam.
Sampai
di sana aku bertanya kepada mereka, "Siapa kepala agama Nasrani di
sini?"
"Uskup
yang menjaga "jawab mereka.
Aku pergi menemui Uskup seraya berkata kepadanya, "Aku
tertarik masuk agama Nasrani. Aku bersedia menadi pelayan anda sambil
belajar agama dan sembahyang bersama-sama anda."
'Masuklah!" kata Uskup.
Aku masuk, dan
membaktikan diri kepadanya sebagai pelayan.
Setelah beberapa lama aku berbakti
kepadanya, tahulah aku Uskup itu orang jahat. Dia menganjurkan
jama'ahnya bersedekah dan mendorong umatnya beramal pahala. Bila sedekah
mereka telah terkumpul, disimpannya saja dalam perbendaharaannya dan
tidak dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin sehingga kekayaannya
telah berkumpul sebanyak tujuh peti emas.
Aku sangat membencinya kerana perbuatannya
yang mengambil kesempatan untuk mengumpul harta dengan duit sedekah
kaumnya. tidak lama kemudian dia meninggal. Orang-orang Nasrani
berkumpul hendak menguburkannya.
Aku berkata kepada mereka, 'Pendeta kalian ini orang
jahat. Dianjurkannya kalian bersedekah dan digembirakannya kalian dengan
pahala yang akan kalian peroleh. Tapi bila kalian berikan sedekah
kepadanya disimpannya saja untuk dirinya, tidak satupun yang
diberikannya kepada fakir miskin."
Tanya mereka, "Bagaimana kamu tahu demikian?"
Jawabku, "Akan
kutunjukkan kepada kalian simpanannya."
Kata mereka, "Ya, tunjukkanlah kepada kami!"
Maka kuperlihatkan
kepada mereka simpanannya yang terdiri dan tujuh peti, penuh berisi emas
dan perak. Setelah mereka saksikan semuanya, mereka berkata, "Demi
Allah! Jangan dikuburkan dia!"
Lalu mereka salib jenazah uskup itu, kemudian mereka
lempari dengan batu. Sesudah itu mereka angkat pendeta lain sebagai
penggantinya. Akupun mengabdikan diri kepadanya. Belum pernah kulihat
orang yang lebih zuhud daripadanya. Dia sangat membenci dunia tetapi
sangat cinta kepada akhirat. Dia rajin beribadat siang malam. Kerana itu
aku sangat menyukainya, dan lama tinggal bersamanya.
Ketika ajalnya sudah
dekat, aku bertanya kepadanya, "Wahai guru! Kepada siapa guru
mempercayakanku seandainya guru meninggal. Dan dengan siapa aku harus
berguru sepeninggalan guru?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Tidak seorang pun yang aku
tahu, melainkan seorang pendeta di Mosul, yang belum merubah dan
menukar-nukar ajaran-ajaran agama yang murni. Hubungi dia di sana!"
Maka tatkala guruku
itu sudah meninggal, aku pergi mencari pendeta yang tinggal di Mosul.
Kepadanya kuceritakan pengalamanku dan pesan guruku yang sudah meninggal
itu.
Kata
pendeta Mosul, "Tinggallah bersama saya."
Aku tinggal bersamanya. Ternyata dia pendeta
yang baik. Ketika dia hampir meninggal, aku berkata kepada nya,
"Sebagaimana guru ketahui, mungkin ajal guru sudah dekat. Kepada siapa
guru mempercayai seandainya guru sudah tiada?"
Jawabnya, "Hai, anakku!
Demi Allah! Aku tak tahu orang yang seperti kami, kecuali seorang
pendeta di Nasibin. Hubungilah dia!"
Ketika pendeta Mosul itu sudah meninggal,
aku pergi menemui pendeta di Nasibin. Kepadanya kuceritakan pengalamanku
serta pesan pendeta Mosul.
Kata pendeta Nasibin, "Tinggallah bersama kami!"
Setelah aku tinggal di
sana, ternyata pendeta Nasibin itu memang baik. Aku mengabdi dan belajar
dengannya sehinggalah beliau wafat. Setelah ajalnya sudah dekat, aku
berkata kepadanya, "Guru sudah tahu perihalku maka kepada siapa harusku
berguru seandainya guru meninggal?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Aku tidak tahu lagi pendeta
yang masih memegang teguh agamanya, kecuali seorang pendeta yang tinggal
di Amuria. Hubungilah dia!"
Aku pergi menghubungi pendeta di Amuria itu. Maka
kuceritakan kepadanya pengalamanku.
Katanya, "Tinggallah bersama kami!
Dengan petunjuknya, aku
tinggal di sana sambil mengembala kambing dan sapi. Setelah guruku sudah
dekat pula ajalnya, aku berkata kepadanya, "Guru sudah tahu urusanku.
Maka kepada siapakah lagi aku akan anda percayai seandainya guru
meninggal dan apakah yang harus kuperbuat?"
Katanya, "Hai, anakku! Setahuku tidak ada
lagi di muka bumi ini orang yang berpegang teguh dengan agama yang murni
seperti kami. Tetapi sudah hampir tiba masanya, di tanah Arab akan
muncul seorang Nabi yang diutus Allah membawa agama Nabi Ibrahim.
Kemudian dia akan
berpindah ke negeri yang banyak pohon kurma di sana, terletak antara dua
bukit berbatu hitam. Nabi itu mempunyai ciri-ciri yang jelas. Dia mahu
menerima dan memakan hadiah, tetapi tidak mahu menerima dan memakan
sedekah. Di antara kedua bahunya terdapat tanda kenabian. Jika engkau
sanggup pergilah ke negeri itu dan temuilah dia!"
Setelah pendeta Amuria
itu wafat, aku masih tinggal di Amuria, sehingga pada suatu waktu
segerombolan saudagar Arab dan kabilah "Kalb" lewat di sana. Aku berkata
kepada mereka, "Jika kalian mahu membawaku ke negeri Arab, aku berikan
kepada kalian semua sapi dan kambing-kambingku."
Jawab mereka, "Baiklah!
Kami bawa engkau ke sana."
Maka kuberikan kepada mereka sapi dan kambing
peliharaanku semuanya. Aku dibawanya bersama-sama mereka. Sesampainya
kami di Wadil Qura aku ditipu oleh mereka. Aku dijual kepada seorang
Yahudi. Maka dengan terpaksa aku pergi dengan Yahudi itu dan berkhidmat
kepadanya sebagai hamba. Pada suatu hari anak saudara majikanku datang
mengunjunginya, iaitu Yahudi Bani Quraizhah, lalu aku dibelinya daripada
majikanku.
Aku
berpindah ke Yastrib dengan majikanku yang baru ini. Di
sana aku melihat banyak pohon kurma seperti yang diceritakan guruku,
Pendeta Amuria. Aku yakin itulah kota yang dimaksud guruku itu. Aku
tinggal di kota itu bersama majikanku yang baru.
Ketika itu Nabi yang baru
diutus sudah muncul. Tetapi baginda masih berada di Makkah menyeru
kaumnya. Namun begitu aku belum mendengar apa-apa tentang kehadiran
serta da'wah yang baginda sebarkan kerana aku terlalu sibuk dengan
tugasku sebagai hamba.
Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah saw. berpindah
ke Yastrib. Demi Allah! Ketika itu aku sedang berada di puncak pohon
kurma melaksanakan tugas yang diperintahkan majikanku. Dan majikanku itu
duduk di bawah pohon. Tiba-tiba datang anak saudaranya mengatakan,
"Biar mampus Bani Qaiah!( kabilah Aus dan Khazraj) Demi Allah! Sekarang
mereka berkumpul di Quba' menyambut kedatangan lelaki dari Makkah yang
mendakwa dirinya Nabi."
Mendengar ucapannya itu badanku terasa panas dingin
seperti demam, sehingga aku menggigil kerananya. Aku kuatir akan jatuh
dan tubuhku akan menimpa majikanku. Aku segera turun dari puncak ponon,
lalu bertanya kepada tamu itu, "Apa kabar anda? Cubalah khabarkan
kembali kepadaku!"
Majikanku marah dan memukulku seraya berkata, "Ini
bukan urusanmu! Kerjakan tugasmu kembali!"
Keesokannya aku mengambil buah kurma
seberapa banyak yang mampu kukumpulkan. Lalu kubawa ke hadapan
Rasulullah saw..
Kataku
"Aku tahu tuan orang soleh. Tuan datang bersama-sama sahabat tuan
sebagai perantau. Inilah sedikit kurma dariku untuk sedekahkan kepada
tuan. Aku lihat tuanlah yang lebih berhak menerimanya daripada yang
lain-lain." Lalu aku hulurkan kurma itu ke hadapannya.
Baginda berkata kepada
para sahabatnya, "silakan kalian makan,...!" Tetapi baginda tidak
menyentuh sedikit pun makanan itu apalagi untuk memakannya.
Aku berkata dalam hati,
"Inilah satu di antara ciri cirinya!"
Kemudian aku pergi meninggalkannya dan
kukumpulkan pula sedikit demi sedikit kurma yang terdaya kukumpulkan.
Ketika Rasulullah saw. pindah dari Quba' ke Madinah, kubawa kurma itu
kepada baginda.
Kataku,
"Aku lihat tuan tidak mahu memakan sedekah. Sekarang kubawakan sedikit
kurma, sebagai hadiah untuk tuan."
Rasulullah saw. memakan buah kurma yang kuhadiahkan
kepadanya. Dan baginda mempersilakan pula para sahabatnya makan
bersama-sama dengannya. Kataku dalam hati, "ini ciri kedua!"
Kemudian kudatangi
baginda di Baqi', ketika baginda menghantar jenazah sahabat baginda
untuk dimakamkan di sana. Aku melihat baginda memakai dua helai kain.
Setelah aku memberi salam kepada baginda, aku berjalan mengekorinya
sambil melihat ke belakang baginda untuk melihat tanda kenabian yang
dikatakan guruku.
Agaknya
baginda mengetahui maksudku. Maka dijatuhkannya kain yang menyelimuti
belakangnya, sehingga aku melihat dengan jelas tanda kenabiannya.
Barulah aku yakin, dia
adalah Nabi yang baru diutus itu. Aku terus memeluk bagindanya, lalu
kuciumi dia sambil menangis.
Tanya Rasulullah, "Bagaimana khabar Anda?"
Maka kuceritakan kepada
beliau seluruh kisah pengalamanku. Beliau kagum dan menganjurkan supaya
aku menceritakan pula pengalamanku itu kepada para sahabat baginda. Lalu
kuceritakan pula kepada mereka. Mereka sangat kagum dan gembira
mendengar kisah pengalamanku.
Berbahagilah Salman Al-Farisy yang telah berjuang
mencari agama yang hak di setiap tempat. Berbahagialah Salman yang telah
menemukan agama yang hak, lalu dia iman dengan agama itu dan memegang
teguh agama yang diimaninya itu. Berbahagialah Salman pada hari
kematiannya, dan pada hari dia dibangkitkan kembali kelak.
Salman sibuk bekerja
sebagai hamba. Dan kerana inilah yang menyebabkan Salman terhalang
mengikuti perang Badar dan Uhud. "Rasulullah saw. suatu hari bersabda
kepadaku, "Mintalah kepada majikanmu untuk bebas, wahai Salman!" Maka
majikanku membebaskan aku dengan tebusan 300 pohon kurma yang harus aku
tanam untuknya dan 40 uqiyah.
Kemudian Rasulullah saw. mengumpulkan para sahabat dan
bersabda, "Berilah bantuan kepada saudara kalian ini." Mereka pun
membantuku dengan memberi pohon (tunas) kurma. Seorang sahabat ada yang
memberiku 30 pohon, atau 20 pohon, ada yang 15 pohon, dan ada yang 10
pohon, setiap orang sahabat memberiku pohon kurma sesuai dengan kadar
kemampuan mereka, sehingga terkumpul benar-benar 300 pohon.
Setelah terkumpul
Rasulullah saw. bersabda kepadaku, "Berangkatlah wahai Salman dan
tanamlah pohon kurma itu untuk majikanmu, jika telah selesai datanglah
kemari aku akan meletakkannya di tanganku."
Aku pun menanamnya dengan dibantu para
sahabat. Setelah selesai aku menghadap Rasulullah saw. dan
memberitahukan perihalku, Kemudian Rasulullah saw. keluar bersamaku
menuju kebun yang aku tanami itu. Kami dekatkan pohon (tunas) kurma itu
kepada baginda dan Rasulullah saw. pun meletakkannya di
tangan baginda. Maka, demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, tidak
ada sebatang pohon pun yang mati.
Untuk tebusan pohon kurma sudah dipenuhi, aku masih
mempunyai tanggungan wang sebesar 40 uqiyah. Kemudian Rasulullah saw.
membawa emas sebesar telur ayam hasil dari rampasan perang. Lantas
baginda bersabda, "Apa yang telah dilakukan Salman
al-Farisi?"
Kemudian
aku dipanggil baginda, lalu baginda bersabda, "Ambillah
emas ini, gunakan untuk melengkapi tebusanmu wahai Salman!"
"Wahai Rasulullah saw.,
bagaimana status emas ini bagiku? Soalku inginkan kepastian daripada
baginda.
Rasulullah
menjawab, "Ambil saja! Insya Allah, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan
memberi kebaikan kepadanya." Kemudian aku menimbang emas itu. Demi jiwa
Salman yang berada di tanganNya, berat ukuran emas itu 40 uqiyah.
Kemudian aku penuhi tebusan yang harus aku serahkan kepada majikanku,
dan aku dimerdekakan.
Setelah itu aku turut serta bersama Rasulullah saw.
dalam perang Khandaq, dan sejak itu tidak ada satu peperangan yang tidak
aku ikuti.'
(HR.
Ahmad, 5/441; ath-Thabrani dalam al-Kabir(6/222); lbnu Sa'ad
dalamath-Thabagat, 4/75; al-Balhaqi dalam al-kubra, 10/323.)
http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=314:salman-al-farisy-pencari-kebenaran&catid=14:kisah-kisah-sahabat&Itemid=75
Tidak ada komentar:
Posting Komentar