Ibu Teladan
Asma' Binti Abu Bakar As Siddiq, Dzatun Nithaqain
“Ya Allah! Kasihanilah dia kerana
solat yang panjang diselangi tangisan di tengah kedinginan malam yang
sepi, ketika orang-orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi. Ya Allah!
Kasihanilah dia yang sering menahan lapar dan dahaga ketika bertugas
jauh dari Madinah atau Mekah dalam menunaikan ibadah puasa kepadaMu. Ya
Allah! Aku menyerahkannya di bawah pemeliharaanMu, aku redha dengan apa
yang telah Engkau tetapkan bagiku dan baginya, dan berilah kami pahala
orang-orang yang sabar...!" [Doa Asma' radhiallahu anha buat puteranya,
Abdullah bin Zubair]
Asma' binti Abu Bakar As-siddiq, saudara kepada
Aisyah Ummul Mukminin (isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam),
puteri kepada sahabat Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar
As-siddiq, isteri Zubair bin Awwam, pejuang dan tokoh Islam yang
mengutamakan redha Allah di dalam perjuangannya, Merupakan seorang
wanita muhajir yang mulia dan bonda kepada Abdullah bin Zubair, salah
seorang pejuang yang gugur mempertahankan agamanya, dan sesungguhnya
kedudukannya ini cukup untuk mengangkat darjat beliau ke tempat yang
tinggi, mulia dan terpuji. Peribadinya dirahmati Allah dengan
keistimewaan yang sangat menonjol, setanding dengan para Muslimin di
ketika itu, cerdas, cerdik, lincah, pemurah dan berani.
Kedermawanan
beliau dapat dilihat jelas melalui ucapan anaknya," Aku belum pernah
melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah
Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya
sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada
mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan
sedikit pun sehingga hari esok"
Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain
Kecemerlangan
berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang penuh
prihatin dan perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar
menyaksikan pengorbanan seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan
sesen pun harta untuk keluarganya melainkan dibelanjakan keseluruhannya
untuk Allah dan rasulNya. Ketika Abu Quhafah (ayah kepada
Abu Bakar radhiallahu anhu) yang masih musyrik menemui keluarganya,
beliau berkata kepada Asma',
"Demi Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu
dengan hartanya, di samping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya!".
Jawab wanita yang mulia ini, "Tidak wahai datuk! sekali-kali
tidak! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami" ujarnya sambil
menghibur dan menenangkan datuknya. Dikumpulkannya batu-batu kerikil
yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang tempat kebiasaannya
menyimpan wang. Kemudian dibawakan datuknya yang buta itu ke tempat
simpanan tersebut, lantas berkata, "Lihatlah datukku! Beliau banyak
meninggalkan wang buat kami!". Perkataan tersebut ternyata berjaya
meyakinkan Abu Quhafah. Maksud perbuatan tersebut adalah untuk
menyenangkan hati datuknya, agar tidak bersusah hati memikirkan hal
tersebut. Malah, Asma' juga tidak menginginkan bantuan
dari orang musyrik meskipun datuknya sendiri. Inilah bukti yang
menunjukkan besarnya perhatian beliau terhadap dakwah dan kepentingan
kaum Muslimin.
Diberi julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh
Rasulullah yang membawa erti "wanita yang mempunyai dua tali pinggang",
sebagai peringatan terhadap peristiwa Hijrah yang menyaksikan
pengorbanan dan keberanian Asma' yang tiada tolok bandingannya. Beliau
bersusah payah menyediakan bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah
dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di saat genting seperti itu. Beliau
mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat
untuk mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut, sehingga kerana
peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali pinggang
tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.
Tidak hanya itu
pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini turut
menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki
oleh seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan
berfikir yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma'
Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua
orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah beliau juga
menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak musuh
terhadap kaum Muslimin. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma' mengambil
peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja
nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam dan ayahnya turut sama terancam. Memikirkan
kemarahan musuh Islam lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan, kafir
Quraisy pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk dibunuh kerana bencinya
mereka terhadap dakwah Islam dan pejuang-pejuangnya.
Di saat-saat genting
seperti itu, Asma' mampu meramal segala kemungkinan yang bakal berlaku,
dan dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau berjalan menuju Gua
Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya berjalan di belakangnya.
Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh kerana jejaknya
terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu. Tindakan ini belum
tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang berani sekalipun,
lantaran hal tersebut bakal mengundang bahaya, kezaliman, dan kekejaman
orang-orang kafir Quraisy.
Permasalahan ini tidak cukup sampai di situ.
Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari tempat
persembunyian dan berhasil berhijrah ke Madinah, Asma' Radhiallahu anha
dan keluarganya didatangi beberapa orang Quraisy, di antaranya Abu Jahal
yang telah bertindak kasar menampar pipi Asma’ Radhiallahu anha dengan
sekali tamparan yang mengakibatkan subangnya terlepas!. Asma' menjawab
dengan penuh diplomasi saat beliau ditanya tempat persembunyian
Rasulullah dan ayahnya dengan berkata," Demi Allah, aku tidak tahu di
mana ayahku berada sekarang!"
Hijrah Asma' Radhiallahu anha dan suaminya ke
Madinah berlaku selang beberapa lama dari hijrah sebelumnya, di mana
pada ketika itu Asma' sedang sarat mengandungkan Abdullah bin Zubair dan
hanya menanti detik-detik kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan
berbahaya ditempuhi jua sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba'.
Kelahiran anak pasangan sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran
dan kegembiraan. Dialah bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.
Sebaik-baik
Ummu wa Rabbatul Bait
Seorang muhajirah yang agung, antara wanita yang
awal memeluk Islam, sangat memuliakan suaminya meskipun Zubair hanya
seorang pemuda miskin yang tidak mampu menyediakan pembantu buatnya.
Hatta tidak mempunyai harta yang dapat melapangkan kehidupan
keluarganya, melainkan hanya seekor kuda yang dijaganya dengan baik.
Beliaulah isteri yang sentiasa sabar dan setia berkhidmat untuk
suaminya, sanggup bekerja keras merawat dan menumbuk sendiri biji kurma
untuk makanan kuda suaminya di saat Zubair sibuk menjalankan tugas-tugas
yang diperintah Rasulullah kepadanya.
Di dalam didikannya, keperibadian
Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau adalah susuk seorang ibu yang
sangat memahami peranannya dalam melahirkan generasi utama yang
berkualiti, generasi yang menjadikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya
di atas segala-galanya, sama ada harta, isteri, keluarga mahupun segala
jenis perbendaharaan dunia. Beliau mencetak keperibadian generasi yang
siap berjuang membela bendera Islam dan kalimah La ilaha illallah
Muhammad Rasulullah. Keperibadian seperti ini terpancar jelas di dalam
diri puteranya, Abdullah bin Zubair. Hal ini dapat kita teladani melalui
kisah pertemuan terakhir di antara seorang ibu dan anak yang saling
menyayangi dan mencintai satu sama lain, semata-mata kerana kecintaan
keduanya kepada Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya.
Abdullah:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!
Asma': Wa'alaikum
salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa engkau datang ke
sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan
Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?
Abdullah: Aku hendak
bermusyawarah dengan ibu
Asma': Tentang masalah apa?
Abdullah: Tenteraku
banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin
kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka
menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku
sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal
bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja
yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan
senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai
khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?
Asma': Terserah kepadamu Abdullah!
Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau
yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada
kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu
yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika
engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang
anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan
dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini,
anakku!
Abdullah:
Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.
Asma' : Itu lebih baik
bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani
Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang
sangat sukar untuk dipercayai!
Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku
khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!
Asma': Tidak
ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita
mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika
kulitnya dikupas orang!
Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud
kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah ku dengar dari ibu
sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan
terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh
dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan
segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh
menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku.
Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!
Asma': Yang ibu
khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.
Abdullah: Percayalah
Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji.
Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak
memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini
mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu
dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di
dalam sanubari Ibu.
Asma': Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang
telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai
pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan
menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu..."
Abdullah:Jangan
bosan mendoakan aku Ibu!
Sebelum matahari terbenam di petang itu, Abdullah
bin Zubair syahid menemui Rabbnya. Dia kembali kerana mengutamakan redha
Allah dan redha ibunya yang beriman. Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj
berkata kepada Asma' setelah Abdullah terbunuh :"Bagaimanakah engkau
lihat perbuatanku terhadap puteramu ?" Asma' menjawab :"Engkau telah
merosak dunianya, namun dia telah merosak akhiratmu." Asma' wafat di
Mekkah dalam usia 100 tahun, sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang
tanggal dan akalnya masih sempurna. [Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat
Ibnu Saad, Taarikh Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu Hisyam]. Semoga
Allah meredhai kedua hambaNya, Asma' dan puteranya.
Khatimah
Inilah sebuah
teladan yang sangat berharga buat kita semua. Asma' Radiallahu anha
bukan sahaja menunjukkan keberaniannya, kepatuhannya kepada Allah, suami
dan ayahnya, juga pengorbanannya yang besar, sikap dermawannya dan
kecemerlangan berfikir yang menjadi cermin keperibadiannya. Bersama
suaminya, Zubair bin Awwam, terbentuklah keluarga sakinah, mawaddah wa
rahmah, bukan kerana harta yang melimpah ruah, tetapi limpahan
barakah dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Taala kerana ahli
keluarganya yang menjadikan kecintaan mereka hanya kepada Allah dan
Rasul di atas kecintaan-kecintaan lainnya. Dari keluarga ini, lahirlah
seorang syuhada yang gagah berani, tidak takut terhadap apapun kecuali
Allah Subhanahu wa Taala Semoga kisah Asma’ Abu Bakar ini
akan sentiasa mekar di jiwa kita sebagai motivasi diri dalam menyemai
kecintaan serta menjalankan kewajipan terhadap Rabbul Izzati.
http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=189:ibu-teladan-asma-binti-abu-bakar-as-siddiq-dzatun-nithaqain&catid=14:kisah-kisah-sahabat&Itemid=75
Tidak ada komentar:
Posting Komentar